HUKUM WASIAT SECARA LISAN

KREDIT: PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN https://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4306-al-kafi-1651-hukum-wasiat-secara-lisan

Dalam hal wasiat ini, terdapat empat rukun yang perlu diraikan iaitu:

  • Pewasiat
  • Penerima wasiat
  • Perkara yang diwasiatkan
  • Sighah (ucapan)

[Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 4/601-606]

Berkenaan dengan wasiat secara lisan, perkara ini boleh dilihat pada rukun yang terakhir iaitu rukun sighah (iaitu lafaz ijab dan qabul). Rukun ini merupakan rukun terpenting bagi membuat sesuatu wasiat. Wasiat ini dilakukan secara lisan yang membabitkan ijab (penawaran) dan juga qabul (penerimaan).

Antara lafaz ijab yang jelas bagi wasiat ialah aku wasiatkan padanya dengan ini, barang ini menjadi milik kau selepas aku mati dan sebagainya. Kemudian, ijab juga boleh dilafazkan dalam bentuk kiasan berserta niat seperti rumahku ini adalah untuk Zaid dan bermacam-macam lagi bentuk lafaz.

Namun, dalam hal membuat wasiat dengan tulisan mesti juga disertakan dengan niat kerana tulisan tidak kurang darjatnya dari lafaz dan juga ibarat dalam menerangkan kehendak seseorang. Bahkan tulisan ini lebih kuat dalam perkara yang memerlukan kepada pengukuhan hujah mahupun dalil. Maka, sekiranya pewasiat adalah seorang yang tidak mampu untuk berkata-kata seperti orang bisu dan sebagainya, maka wasiatnya perlu diikat melalui penulisan, dan disyaratkan supaya wasiat tersebut dapat diterima, hendaklah melalui tulisannya yang telah diakui oleh warisnya atau bukti lain yang menyaksikan bahawa dia yang menulisnya. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i; 4/553-554].

Justeru itu, dalam hal ini, sememangnya sah jika seseorang pewasiat mewasiatkan hartanya dengan cara lisan atau dengan hanya menggunakan lafaz, namun dalam konteks zaman sekarang, dan perlunya kepada pembuktian, maka dokumentasi (sama ada dalam bentuk tulisan dan bukti-bukti lain) amatlah penting bagi membuktikan wasiat dan menentukan ia perlu dilaksanakan atau tidak, berdasarkan kepada pembuktian yang ada.

Dalam konteks undang-undang, jika berlaku pertikaian terhadap wasiat, maka ia perlu dikemukakan di mahkamah, dan setiap dakwaan yang dikemukakan ke Mahkamah ini perlulah dibuktikan. Jika benar si mati telah memberi hartanya kepada seseorang, ia perlu dibuktikan samada melalui akuan sumpah dan saksi serta disokong oleh bukti-bukti yang lain sehingga boleh membuktikan bahawa ianya adalah wasiat. Sekiranya tiada bukti mahupun saksi yang boleh menyokong di antara ahli warisnya maka adalah sukar untuk membuktikan bahawa wasiat secara lisan telah berlaku dan ini bermakna warisnya mempunyai hak sepenuhnya terhadap harta si mati (harta tersebut hendaklah difaraidkan).

PENUTUP:

Kesimpulannya, wasiat secara lisan adalah sah menurut syarak dan boleh dilaksanakan, namun wasiat yang dilakukan secara bertulis adalah lebih baik agar tulisan itu bertindak sebagai bahan pembuktian terhadap wasiat di samping mengelakkan dari berlakunya pertikaian, perbalahan dan juga pergaduhan sesama waris dan juga penerima wasiat, maka sebaiknya perkara ini dielakkan. Meskipun begitu, sekiranya para waris redha dan setuju terhadap wasiat yang dilakukan secara lisan, maka ia adalah sah dan mesti dituruti. Akhir kalam, kami menasihati orang ramai agar melakukan wasiat dengan didokumentasikan secara rasmi, supaya wasiat ini boleh terlaksana pada suatu hari nanti dengan adanya pembuktian ini. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamaNya, menetapkan hati kita, serta memberkati segala amal kebajikan kita.

Kami juga menyediakan khidmat nasihat mengenai HIBAH, AMANAH & HARTA SEPENCARIAN.

Sebarang pertanyaan lanjut, bolehlah terus hubungi pegawai kami untuk penerangan secara percuma. Sila whatsapp WasiatDigital ke talian 019-218 6132 atau email terus ke ruby.vantagepoint@gmail.com

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top