DEFINISI
Hibah secara ringkasnya adalah suatu akad mengenai pemberian hakmilik harta oleh seseorang secara sukarela kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa mengharapkan balasan.
CONTOH
HIBAH HARTANAH
Baca: https://wasiatdigital.com/hibah-hartanah-kan-dah-ada-wasiat/
HIBAH MANFAAT TAKAFUL
Baca: https://wasiatdigital.com/hibah-hartanah-dan-hibah-takaful/
DALIL PENSYARIATAN
AL-QURAN
Firman Allah SWT:
فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا
Yang bermaksud: “Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian daripada maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.” (Surah al-Nisa’: 4)
AL-HADIS
Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَهَادُوا تَحَابُّوا
Yang bermaksud: “Saling memberi hadiahlah kamu nescaya kamu akan saling sayang-menyayangi.” (Riwayat Al-Bukhari)
RUKUN HIBAH
Hibah melibatkan empat rukun seperti di bawah:
- Pemberi
- Penerima
- Barang Yang Dihibah
- Sighah (lafaz akad hibah)
SYARAT-SYARAT HIBAH
PEMBERI
Pemilik kepada barangan
- Mempunyai kelayakan untuk memberi hibah; dan
- Mempunyai kuasa penuh untuk menggunakan hartanya.
PENERIMA
- Berkelayakan menerima hibah termasuklah yang bukan mukallaf seperti kanak-kanak dan orang tak sempurna akal atau OKU. Namun, penjaga atau pemegang amanah boleh dilantik bagi pihak mereka;
- Penerima hibah wujud ketika hibah dibuat; dan
- Boleh menguasai harta yang dihibahkan (qabd).
BARANG YANG DIHIBAH
- Wujud ketika hibah dibuat;
- Barangan tersebut mestilah barangan yang bernilai; dan
- Mestilah daripada hak milik pemberi hibah.
AKAD
- Ijab dan qabul; dan
- Tidak bertempoh
KADAR HARTA YANG BOLEH DIHIBAH
Hukum Syarak memberikan kebebasan kepada pemilik harta untuk melakukan pemberian tanpa terikat kepada kadar tertentu.
Bahkan, menurut ijmak, adalah harus bagi pemilik harta yang waras fikirannya menghibahkan keseluruhan hartanya.
Namun, Rasulullah SAW mengingatkan kita supaya berlaku adil kepada anak-anak sebagaimana hadis daripada Nu’man bin Basyir r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اتَّقوا اللهَ، واعدِلوا بين أولادِكم
Yang bermaksud: “Bertaqwalah kepada Allah s.w.t., dan berlaku adillah sesama anak-anak kamu.” (Riwayat al-Bukhari)
PEMBATALAN
Hukum asal hibah adalah memberi implikasi pemilikan yang lazim kepada penerima hibah. Oleh itu, pembatalan hibah adalah tidak boleh dilakukan. Ia sebagaimana hadis daripada Umar bin al-Khattab r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فإنَّ العائدَ في هبتِه كالكلبِ يعودُ في قيئِه
Yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang menarik kembali hibahnya adalah seperti seekor anjing yang menjilat kembali muntahnya.” (Riwayat al-Bukhari)
Namun, para fuqaha’ memberikan pengecualian iaitu dengan mengharuskan pembatalan hibah daripada seorang bapa, ibu, datuk atau nenek kepada anak atau cucunya. Ini bersandarkan kepada sebuah hadis daripada Abdullah bin ‘Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لا يَحِلُّ للرجُلِ أنْ يُعطِيَ العَطِيَّةَ، فيَرجِعَ فيها، إلَّا الوالدَ فيما يُعطِي ولَدَه
Yang bermaksud: “Tidak halal bagi seorang yang telah menghulurkan satu pemberian menarik kembali pemberiannya melainkan pemberian seorang bapa kepada anaknya.” (Riwayat Abu Daud)
KLAUSA UTAMA DALAM HIBAH
- Pengakuan waras fikiran dan kerelaan pemberi hibah;
- Perisytiharan harta yang ingin dihibahkan;
- Pernyataan pemberian harta yang dihibahkan;
- Pelantikan Wasi dan Pemegang Amanah;
- Tandatangan pemberi hibah dan saksi-saksi; dan
- Tandatangan perakuan persetujuan penerima hibah dan saksi-saksi.
KEBAIKAN HIBAH
- Amalan sunat yang dianjurkan oleh Islam;
- Memupuk kasih sayang dan mengeratkan silaturrahim;
- Pemberian semasa hidup kepada sesiapa yang dikehendaki;
- Pemberian tanpa had dan sunat menyamaratakan kepada anak-anak;
- Penghibah masih boleh menikmati harta yang dihibahkan;
- Alternatif penyelesaian masalah pembahagian secara faraid;
- Dibuat mengikut kesesuaian dan taraf hidup penerima; dan
- Perceraian tidak menjejaskan hak kepada pemberian hibah.
HIKMAH DISYARIATKAN HIBAH
- Melahirkan kesyukuran terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.
- Membantu menampung keperluan waris atau orang-orang fakir dan miskin yang tidak bernasib baik.
- Mengeratkan ikatan silaturrahim sesama ahli waris.
KREDIT:https://mais.gov.my/perkhidmatan-hibah/
Kami juga menyediakan khidmat nasihat mengenai HIBAH, AMANAH & HARTA SEPENCARIAN
KLIK WHATSAPP DI BAWAH UNTUK INFO WASIAT EKSPRES PALING RAHMAH YANG SEMUA MESTI ADA!
Sebarang pertanyaan lanjut, bolehlah terus hubungi pegawai kami untuk penerangan secara percuma. Sila whatsapp WasiatDigital ke talian 019-218 6132 atau email terus ke ruby.vantagepoint@gmail.com